Monday, November 10, 2008

RANCANGLAH WANG ANDA!!!!!!!!!

PERANCANGAN paling bagus pun tidak akan mendatangkan sebarang manfaat jika tidak diambil sebarang tindakan. Membuat sesuatu perancangan itu memang agak mudah, namun untuk melaksanakannya tidak semudah yang disangkakan. Ia perlukan masa, disiplin dan komitmen diri untuk memastikan segala yang dirancang itu berjalan lancar dan berada di landasan yang tepat.
Begitu jugalah dalam menentukan haluan kedudukan kewangan. Dalam keadaan masyarakat yang semakin mewah hasil pembangunan negara yang berterusan, perancangan kewangan menjadi satu keperluan dalam hidup. Segalanya bermula dengan perancangan, wawasan kewangan bagi menentu kedudukan kewangan pada masa depan.
Apakah itu perancang kewangan? Perancang kewangan adalah satu proses - satu strategi perancangan yang dirangka dengan baik yang menggunakan sumber kewangan anda untuk mencapai matlamat jangka masa sederhana dan panjang. Menerusi perancangan kewangan ini anda dapat melihat di manakah kedudukan kewangan anda pada masa kini, arahnya pada masa depan, bagaimana untuk mencapainya dan bila sepatutnya bermula.Amat penting bagi setiap individu untuk membuat perancangan kewangan secepat mungkin terutama bagi mereka yang mula memasuki alam pekerjaan. Jika yang sudah lama bekerja, tetapi masih lagi belum membuat sebarang perancangan, masih lagi belum terlambat. Tidak kira di titik mana anda berada tetap tidak terlewat untuk membuat sebarang perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik.
Pertama sekali yang perlu anda lakukan adalah bertanya pada diri, pada kedudukan manakah anda berada. Berapakah nilai aset anda dan juga wang simpanan yang ada? Kemudian lihat pula pada liabiliti ataupun hutang-piutang anda, perlindungan diri, aliran tunai, pelaburan, pelan persaraan, perancangan estet (wasiat) dan juga perancangan untuk mencapai matlamat dan objektif hidup anda.
Dalam membuat perancangan kewangan ini, ramai yang hanya menekankan mengenai aspek simpanan semata-mata tanpa mengambil kira pelbagai aspek lain. Untuk melihat kesihatan ekonomi sendiri,semua aspek ini perlu diteliti. Simpanan saja perlu ada matlamatnya sama ada tabungan itu untuk kegunaan kecemasan, pendidikan anak ataupun persaraan. Sementara bagi orang bujang pula mungkin tumpuan simpanan mereka sebagai persediaan berumah tangga, membeli kenderaan ataupun kediaman.
Setiap orang itu mempunyai matlamat berbeza bergantung pada tahap usia. Orang muda lain matlamatnya. Yang baru berkahwin berbeza matlamatnya dengan mereka yang sudah lama berkahwin dan mempunyai anak yang sedang bersekolah. Yang masih bekerja lain pula dibandingkan dengan mereka yang sudah bersara. Pendeknya, berbeza orang dan tahap umur, berbeza keinginan dan matlamat kewangan mereka.
Masa depan adalah sesuatu yang tidak pasti dan ramai yang mengambil jalan mudah dengan mengikut saja arus kehidupan. Tidak menghairankan jika kebanyakan daripada kita sama saja keadaannya. Paling menyedihkan ada kalangan masyarakat yang sudah bertahun-tahun bekerja masih tidak mempunyai sebarang simpanan.
Gaji hanya cukup-cukup untuk menampung kehidupan. Dalam kehidupan masa kini yang serba-serbinya naik, pendapatan diterima tidak pula selaras dengan peningkatan kos kehidupan. Tambah memburukkan keadaan dengan himpitan inflasi membuatkan nilai wang semakin rendah. Memang amat terasa apabila harga barangan dan juga perkhidmatan lain meningkat sedangkan pendapatan masih juga tidak berkembang.
Justeru apakah yang patut anda lakukan? Mampukah anda membuat perancangan dalam keadaan kedudukan ekonomi yang semakin menghimpit? Apapun keadaannya, perancangan kewangan anda itu perlu diteruskan. Mulakan langkah pertama dengan menyimpan.
Jika tidak mampu memperuntukkan 10 peratus daripada pendapatan anda sebagai tabungan, simpan saja seberapa yang boleh mengikut kemampuan. Ada yang bermula dengan RM50 ataupun RM100 sebulan. Sekalipun jumlahnya kecil, bayangkan RM50 sebulan itu dalam tempoh setahun akan berkembang kepada RM600, manakala jika RM100 pula akan berkembang RM1200.
Wang adalah satu bentuk tenaga. Anggap simpanan anda itu sebagai ibu duit. Selepas melihat wang anda berkembang dari semasa ke semasa, anda berasa ingin terus menyimpan dan tidak sabar untuk melihat wang anda berkembang lebih cepat. Keinginan itu akan memaksa anda untuk terus menyimpan sehingga ia membentuk satu tabiat yang sukar untuk ditinggalkan.
Mulakan perancangan wang anda hari ini, Semoga berjaya dan mendapat manfaat.......

Buku yang perlu anda baca....amat bernilai bagi saya, terima kasih Mr. Hamdy

RANCANG HIDUP RANCANG WANG
Perkongsian pengalaman mengenai pembangunan diri, perancangan kewangan dan pendidikan anak anak berdasarkan pengalaman, pembacaan dan pemerhatian saya. BUKU BARU TERBIT- RANCANG HIDUP RANCANG WANG RM18. 112 TOPIK KEHIDUPAN. (Sila email hamdy065@yahoo.com atau 0133696712. Boleh didapati di kedai MPH atau www.mph.com.my atau bankin di akaun maybank saya 562106051253 Haron Mohd Yusof, kemudian sms alamat kpd dia).

No comments: